SPRM Tahan Doktor, Kerani Kerana Buat Tuntutan Palsu RM900,000.

SEORANG doktor dan dua kerani ditahan reman SPRM Johor berhubung tuntutan palsu berjumlah RM900,000 di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin.

JOHOR BAHRU: Seorang doktor dan dua kerani kewangan Pejabat Kesihatan Daerah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 September ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM900,000.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Noor Aisyah Ahmad selepas mendengar permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abd Ghani, dalam satu kenyataan, berkata semua suspek berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan di pejabat SPRM negeri ketika dipanggil memberi keterangan, kira-kira jam 9 malam tadi.

"Semua mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu terhadap 59 baucar bayaran perkhidmatan pembekalan barang tetapi barang berkenaan tidak sampai ke pejabat kesihatan.

"Dalam siasatan awal mendapati, pegawai kesihatan terbabit bersekongkol dengan enam syarikat pembekalan dengan memberikan sebahagian hasil tuntutan kepada syarikat terbabit .Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya. - BH Online

No comments