Polis Menembak Mati Seorang Lelaki Berkelakuan Agresif.
LAHAD DATU: Polis menembak mati seorang lelaki yang berkelakuan agresif sehingga mengancam nyawa orang awam dalam kejadian di tepi jalan Kampung Merabung, dekat sini, pagi tadi.
Suspek terbaring dengan kesan tembakan di tepi jalan Kampung Merabung, Lahad Datu. - Foto Hazsyah Abdul Rahman.
Dalam kejadian pada jam 7.20 pagi itu, lelaki tempatan berusia 40-an itu dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad, berkata polis menerima panggilan daripada penduduk kampung mengatakan lelaki itu berkelakuan agresif dan cuba mencederakan orang awam.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota polis yang cuba menenangkan mangsa turut dibaling objek keras sehingga seorang anggota polis cedera di kepala dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Susulan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan lalu mengenai tubuh lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan tersebar maklumat hingga viral di laman sosial kononnya lelaki terbabit adalah anggota kumpulan penceroboh sehingga mencetus panik dalam kalangan penduduk. -BH Online
Post a Comment