Maut Dilanggar Kereta.


MIRI: Lelaki berusia 25 tahun maut dalam kejadian langgar lari di persimpangan lampu isyarat Pujut 7 di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 11.50 malam itu, Augustine Sawing Gelayan,25, yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di leher.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi SuperintendanAlexson Naga Chabu berkata, mangsa dalam perjalanan dari bandar menuju ke Lutong sebelum dilanggar kereta dari arah Piasau Jaya.

Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak beberapa meter ke laluan bertentangan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan berkenaan melarikan diri," katanya.

Katanya, bagaimanapun, polis berjaya menemui kereta berkenaan yang ditinggalkan di kawasan Krokop jam 12.30 malam.

"Pemilik kereta berkenaan masih dikesan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - HMetro

No comments