Sultan Brunei Balas Kembali Kad Ucapan Raya Murid Dari Pedalaman.
BRUNEI: Murid-murid Tahun 5 SK Kuala Pelugau yang terletak di pedalaman sebuah daerah kecil Selangau, tidak menyangka sama sekali Sultan Negara Brunei Darussalam, DYMM Sultan Hassanah Bolkiah membalas kembali kad ucapan hari raya yang dikirim oleh mereka pada bulan Ramadan yang lalu.
Menurut guru yang mengajar murid-murid kelas ini, semasa di dalam kelas, murid-murid diajar bagaimana untuk membuat kad ucapan hari raya.
Kebetulan, pada masa tersebut bulan puasa. Murid-murid diajar berfikir di luar kotak dan mengaplikasikan kad buatan tersebut dalam kehidupan seharian dan bukan hanya satu proses pembelajaran di dalam kelas semata-mata.
Maka, murid-murid sekadar mencuba nasib untuk menghantar kad ucapan tersebut kepada Sultan Brunei dan murid-murid tidak menyangka sama sekali Sultan Brunei membalas kembali kad raya tersebut. Apa yang lebih mengejutkan kad-kad ucapan raya yang dihantar oleh murid-murid ini dihasilkan sendiri daripada kertas A4 dan dihias dengan menggunakan pensel warna sahaja.
Tetapi, DYMM Sultan Brunei membalas kesemua kad-kad tersebut dengan kad yang lebih cantik dan bertaip nama penuh setiap murid tersebut.
Ternyata, kad yang berwarna kuning keemasan itu amat bermakna kepada murid-murid ini sehingga ada murid yang menangis terharu apabila menerima kad tersebut.
Murid-murid tersebut yang rata-ratanya berlatar belakangkan sosio ekonomi yang rendah ini berazam akan belajar bersungguh-sungguh dan berharap agar dapat berjumpa secara bersemuka satu hari nanti dengan DYMM Sultan Hassanah Bolkiah untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kad ucapan raya yang amat bernilai dan bermakna dalam hidup mereka. - BorneoDiHati
Post a Comment