Buaya 18 Kaki Berjaya Ditawan Oleh Peladang.
BANDAR SERI BEGAWAN: Demi menjaga keselamatan dan perlindungan binatang ternakan, beberapa orang peladang di Jalan Kecil Birau-Sentul, dengan berani telah berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 18 kaki, pagi semalam.
Salah seorang peladang, Awang Mohd Isa bin Haji Laih memberitahu media, sebelum ini, beberapa kerbaunya pernah hilang dimakan buaya dan ada beberapa kerbau lain mengalami kecacatan seperti patah kaki.
Bulan lepas, dua ekor kerbaunya juga hilang kerana dimakan buaya. Oleh itu, demi menjaga keselamatan dan perlindungan binatang ternakannya, beliau bersama peladang lain membuat jerat dan memasang umpan pada dua hari lepas.
Menurutnya, setelah turun ke ladang pagi tadi, mereka melihat buaya sepanjang 18 kaki terdampar berhampiran sungai berkenaan dan didapati memakan seekor kerbau.
Dengan perasaan berani, Awang Mohd Isa bersama Awang Maidin bin Haji Taripin, Haji Kamaluddin bin Haji Sabtu dan Tarjo Surjadi telah berjaya menangkap buaya tersebut, dan hanya membiarkannya di kawasan berkenaan.
Walaupun merasa lega, namun para peladang masih lagi memburu dan mencari buaya yang berukuran lebih besar daripada ini yang selama ini dapat mengelakan diri daripada tertangkap oleh jerat yang dipasang peladang.
Para peladang juga menasihati orang ramai yang sering memancing di kawasan Jalan Kecil Birau-Sentul tersebut agar berwaspada kerana di kawasan tersebut didapati banyak buaya. - Berita Brunei
Post a Comment