Remaja Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Bersampan.
SANDAKAN, 25 Julai: Seorang remaja lelaki warganegara Filipina maut disyaki terkena renjatan elektrik ketika bersampan di laut berhampiran rumahnya di Kampung Cahaya Baru, Batu 3 dekat sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Razali Awang Ahmad berkata mangsa dikenali sebagai Siman Rudy, 14.
Katanya enam anggota bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan utiliti diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Japar Hamzah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.12 pagi.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kami mendapati mangsa berada di dalam air di perkampungan atas air berkenaan lalu bertindak mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak ambulans.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans Hospital Duchess of Kent Sandakan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya di sini.
Razali berkata hasil siasatan awal, mangsa dipercayai berada di dalam sebuah sampan sebelum terjatuh ke dalam air dan terkena renjatan elektrik yang terdapat di dalam air kawasan berkenaan dipercayai disebabkan penyambungan elektrik secara haram. -BERNAMA
Post a Comment