Remaja Maut Terkena Kipas Bot.
TUMPAT: Remaja lelaki maut selepas terjatuh ke dalam laut dan terkena kipas bot di Pantai Geting, 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Suprintendan Zaharuddin Rasip berkata, sebelum kejadian mangsa Mohammad Faiz Wahib, 18, dikatakan keluar memancing bersama rakannya Azwa Mat Nor, 30, dengan menaiki bot dari Kuala Besar, Kota Bharu.
Katanya, bagaimanapun, sebaik tiba di pantai Geting, bot yang dinaiki mereka dipukul ribut menyebabkan mereka tercampak ke laut.
"Azwa berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki kembali bot terbabit, namun Mohammad Faiz mengalami kecederaan selepas terkena kipas bot.
"Mangsa yang luka di bahagian telinga kanan, dahi dan kaki kiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan.
"Saya nasihatkan penduduk di daerah ini yang ingin memancing, perlu pastikan keadaan laut tidak bergelora kerana kita tidak mahu kejadian yang sama berulang," katanya. - HMetro
Post a Comment