47 PATI Ditahan Sekitar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seramai 47 pendatang tanpa izin (PATI) termasuk tiga penagih dadah ditahan dalam serbuan Ops Nyah Bersepadu di beberapa lokasi setinggan dan rumah kongsi di sekitar Inanam, Manggatal serta Likas di sini, awal pagi tadi. 


Operasi bermula jam 1 pagi hingga jam 6.30 pagi yang diketuai polis dari ibu pejabat daerah (IPD) Kota Kinabalu itu, menyasarkan tujuh lokasi di ketiga-tiga kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian PATI.

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner M Chandra, berkata 36 orang yang ditahan adalah warga Filipina, diikuti tujuh warga Indonesia dan seorang warga India, manakala tiga orang penagih dadah. 

Katanya, tahanan berumur antara 11 bulan hingga 55 tahun dan semua mereka dibawa ke lokap berpusat Kota Kinabalu di Kepayan, di sini, untuk tindakan selanjutnya sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi proses penghantaran pulang ke negara asal. 

“Dalam operasi lima jam setengah itu, kita memeriksa 96 orang membabitkan 82 warga Filipina, 12 warga Indonesia dan dua warga India di tujuh lokasi sekitar Inanam, Manggatal dan Likas,” katanya. 

Beliau berkata, operasi membabitkan 103 anggota termasuk empat pegawai daripada pasukan polis, Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Imigresen. - BH Online

No comments