Penunggang Motosikal Terbunuh Dalam Kemalangan Di Jalan Tungku - Lahad Datu.

LAHAD DATU: Seorang penunggang terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 8, Jalan Lahad Datu-Tungku, petang kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa dikenali sebagai Jaiman @Jasman Jafar, 47, dikatakan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu selepas mengalami cedera parah di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata ketika kejadian, kedua-dua kenderaan sedang dalam perjalanan dari arah yang sama iaitu dari arah Tungku menuju ke Lahad Datu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi terbabit, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan.

“Impak daripada kejadian itu, mangsa telah tercampak ke atas jalan dan mengalami cedera parah di bahagian perut, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Lahad Datu menaiki ambulan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh doktor,” katanya.

Pemandu pacuan empat rodaa berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. - Utusan

No comments